Ketepatan kaedah yang tidak invasif yang berbeza untuk mengenalpasti Helicobacter pylori

Mengapakah ianya penting untuk mengetahui sama ada seseorang mempunyai Helicobacter pylori?

Helicobacter pylori (H pylori) adalah sejenis bakteria yang mungkin terdapat dalam perut sesetengah orang. H pylori dipercayai menyebabkan beberapa jenis kanser, termasuk kanser perut, kanser pankreas, dan kanser tekak. H pylori juga dikaitkan dengan penyakit lain termasuk ulser perut, pedih ulu hati, dan perasaan kembung. Jika H pylori ditemui dalam individu, rawatan yang sesuai boleh dimulakan.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk membandingkan ketepatan tiga jenis ujian untuk H pylori. Ini adalah: ujian nafas urea, ujian darah (ujian darah khusus dipanggil serologi), dan ujian najis.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Terdapat dua jenis ujian nafas urea yang menggunakan dua bentuk karbon yang berbeza iaitu 13C dan 14C, serta pelbagai versi serologi dan ujian najis.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami mendapati 101 kajian termasuk 11,003 orang yang telah diuji untuk H pylori. Daripada 11,003 peserta, 5839 (53.1%) mempunyai jangkitan H pylori. Semua kajian menggunakan salah satu daripada tiga ujian yang disenaraikan di atas dan membandingkan keputusan ujian ini dengan diagnosis yang diberikan oleh biopsi endoskopik. Biopsi endoskopik melibatkan mendapatkan tisu dari perut menggunakan tiub fleksibel nipis yang diperkenalkan melalui mulut dan menguji kehadiran H pylori di bawah mikroskop. Ia kini merupakan ujian yang paling tepat, namun ia menyebabkan ketidakselesaan fizikal kepada pesakit, dengan risiko yang berkaitan dengan bahaya. Ini adalah berbeza dengan ujian bukan invasif alternatif dalam ulasan ini yang jauh lebih selesa dan mempunyai risiko kerosakan yang minimum atau tidak, menjadikannya alternatif yang wajar jika ia dapat dilihat sebagai tepat untuk mendiagnosis H pylori sebagai biopsi endoskopik. Kebanyakan kajian termasuk peserta dengan pedih ulu hati atau masalah yang sama di dalam perut dan dikecualikan peserta yang sebelum ini mengalami penyingkiran separa perut dan mereka yang mempunyai rawatan untuk H pylori.

Tiga puluh empat kajian (4242 peserta) menggunakan serologi; 29 kajian (2988 peserta) menggunakan ujian antigen najis; 34 kajian (3139 peserta) menggunakan ujian nafas urea-13C; 21 kajian (1810 peserta) menggunakan ujian nafas urea-14C; dan dua kajian (127 peserta) menggunakan ujian nafas urea tetapi tidak melaporkan jenis karbon yang digunakan. Kajian bervariasi dalam had yang mereka gunakan sebelum mengatakan ujian positif untuk jangkitan H pylori dan jenis pewarnaan yang digunakan untuk memeriksa bahan biopsi. Apabila kita melihat semua data yang kami dapati, ujian nafas urea lebih tepat daripada ujian darah dan najis. Hasilnya bermakna bahawa, secara purata, jika 1000 orang diuji, akan ada 46 orang tanpa H pylori yang akan salah didiagnosis sebagai memiliki H pylori. Juga, akan ada 30, 42, 86, dan 89 orang dengan jangkitan H pylori yang mana diagnosis jangkitan H pylori akan terlepas oleh ujian nafas urea -13C, ujian nafas urea -14C, serologi, dan ujian antigen najis, masing-masing . Apabila kita melihat tujuh kajian yang membandingkan ujian nafas urea-13C dan serologi, atau ujian nafas urea-13C dan ujian antigen najis dalam peserta yang sama, hasilnya tidak menentu dan kami tidak dapat memberitahu ujian mana yang lebih tepat.

Betapa boleh dipercayai hasil kajiannya?

Kecuali untuk satu kajian, semua metodologi kajian adalah kualiti yang kurang baik, yang menjadikan hasilnya tidak boleh dipercayai.

Siapa yang menggunakan keputusan ulasan ini?

Keputusan ini berlguna untuk kanak-kanak dan orang dewasa dengan jangkitan H pylori yang disyaki, tetapi hanya pada mereka yang belum pernah menjalani operasi perut dan mereka yang baru-baru ini tidak mempunyai antibiotik atau rawatan untuk jangkitan H pylori.

Apakah implikasi ulasan ini?

Ujian nafas urea, ujian darah, dan ujian najis mungkin sesuai untuk mengenal pasti sama ada seseorang mempunyai jangkitan H pylori. Walau bagaimanapun, tahap keputusan ujian nafas urea, ujian darah, atau ujian najis yang harus digunakan untuk membuat diagnosis jangkitan H pylori masih tidak jelas.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami melakukan carian kesusasteraan yang teliti untuk mengkaji ketepatan ujian-ujian ini sehingga 4 Mac 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information